Monday, May 4, 2009

DEMI SURVIVAL MAHASISWA : BANGKITLAH SEBELUM TERLENA




MOHD IDRIS BIN MOHD YUSSOFF

PRESIDEN,

IKATAN STUDI ISLAM (ISIUKM),

UNIVERSITI KEBANGSAAN MALAYSIA.



Ketika khilifah Islam di bawah pimpinan Muawiyyah, Abu Ayyub al-Ansari teringatkan hadith Rasulullah s.a.w. ketika sedang menggali parit dalam peperangan Khandak :


"..Constantinople (kini Istanbul) akan jatuh ke tangan tentera Islam. Rajanya adalah sebaik-baik raja, tenteranya adalah sebaik-baik tentera……"

(Hadis riwayat Imam Ahmad)


Maka ideal itu dibawakan. Namun ramai yang menyanggah pandangan Abu Ayyub al-Ansari untuk berusaha membuka Constantinople dengan alasan firman Allah s.w.t. dalam al-Quran :



……dan janganlah kamu mencampakkan dirimu sendiri ke dalam kebinasaan…

(al-Baqarah 2 : 195)


Mereka menyanggah Abu Ayyub al-Ansari dengan menganggap jihad membuka Constantinople sebagai mencampakkan diri dalam kebinasaan kerana gerun akan kekuatan tentera Byzantine melalui cerita-cerita yang didengar. Namun Abu Ayyub al-Ansari membetulkan salah tafsir ayat tersebut dengan membaca keseluruhan ayat tersebut yang berbunyi :



Dan belanjakanlah (harta bendamu) di jalan Allah, dan janganlah kamu mencampakkan dirimu sendiri ke dalam kebinasaan, dan berbuat baiklah, Karena Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berbuat baik.

(al-Baqarah 2 : 195)


Sebagaimana yang terkandung dalam tafsiran Ibnu Abbas, Abu Ayyub al-Ansari menjelaskan bahawa ayat tersebut harus dibaca keseluruhannya. Yang dimaksudkan dengan “mencampakkan diri dalam kebinasaan “ ialah “bakhil untuk mengeluarkan harta di jalan Allah s.w.t.” sesuai dengan awal ayat tersebut yang bermaksud : “dan belanjakanlah (harta bendamu) di jalan Allah…” Beliau juga menjelaskan bahawa jihad bukanlah satu kebinasaan akan tetapi satu kemuliaan.


Walaupun umurnya menjangkaui lebih 80 tahun, dengan moto hidup beliau “infiruu khifafan wa thiqalan….”, Abu Ayyub al-Ansari menyertai delegasi pertama yang dihantar oleh Muawiyyah pada zaman tersebut untuk membuka Constantinople. Walaupun ketika itu Constantinople belum dapat dibuka ketika itu, Abu Ayyub al-Ansari mendapat syahid. Salah satu wasiatnya ialah, “andai aku gugur syahid, kebumikan aku di sini. Walaupun aku tidak mampu membuka Constantinople, sekurang-kurangnya satu hari nanti aku akan mendengar tapak kaki “sebaik-baik pemimpin dan sebaik-baik tentera yang dijanjikan oleh Rasulullah s.a.w.”.


Zaman berzaman, walaupun belum dapat membuka Constantinople, dengan azam dan jiwa besar, tentera Islam sentiasa menghantar pasukan deligasi untuk membuka kota tersebut bagi merialisasikan matlamat besar seperti yang dijanjikan oleh Rasulullah s.a.w. Sampailah saat, Constantinople dibuka oleh Sultan Muhammad al-Fateh, jasa Abu Ayyub al-Ansari tidak boleh dilupakan. Satu kredit yang boleh diberikan kepada Abu Ayyub al-Ansari di atas tindakannya. Walaupun agak berumur, namun jiwanya adalah jiwa pemuda.


Berubah sebelum rebah


Menyedari hakikat kepemudaan, mahasiswa harus bangkit sebelum terus terlena. Paradigma mahasiswa harus berubah sebelum rebah. Skop pemikiran mahasiswa perlu lebih luas menjangkaui bilik-bilik kuliah. Mahasiswa hari ini perlu bersifat negarawan. Mahasiswa tidak boleh membiarkan arus perubahan yang melaju terus meninggalkan kita. Idealisme perlu diasah, imaginasi perlu dipasak dan gerakan harus diperkasa secara bersama.


Mahasiswa perlu menjadi elemen sedar masyarakat. Bersiap siaga sebagai pemimpin rakyat. Bukan esok, tetapi hari ini mahasiswa perlu bangkit. Mengasak minda supaya bersikap negarawan. Lihat sahaja, ketika masyarakat tersalah tafsiran hakikat perjuangan, Abu Ayyub al-Ansari tampil membetulkannya. Membuka minda generasi terbilang agar tidak terkebelakang.


Dalam kisah pembukaan Constantinople, Rasulullah s.a.w. sebagai pencetus, Abu Ayyub al-Ansari sebagai penggerak, tentera-tentera Islam sebagai pelaksana dan Sultan Muhammad al-Fateh sebagai penyempurna. Persoalannya, di mana pula halatuju, matlamat dan cita-cita mahasiswa? Di mana pula posisi kita? Tidak cukup hanya berpemikiran pengkritik ibarat tin kosong andai tidak cuba menjadi alternatif terbaik. Tidak cukup sekadar kita hanya berbicara apa yang orang lain lakukan, namun tanyalah apa yang telah kita lakukan.


Tingkap yang disangka pintu


Virus persepsi yang semakin menebal membahayakan mahasiswa. Persepsi mudah boleh membawa mudarat. Dalam hal ini, symptom yang disangka masalah harus dibezakan. Hanya kerana banyak berfikir soal symptom, masalah sebnar tidak dapat diselesaikan dan semakin membarah. Mahasiswa harus berjiwa besar. Rahsianya adalah dengan tinggalkan symptom, selesaikan masalah. Hari ini, kita banyak berbicara soal symptom, namun masalah sebenar gagal diatasi.


Symptom perlu dianggap sebagai kemuncup dalam perjuangan. Walaupun tidak disukai namun lupakan sebentar demi perjuangan nafas panjang. Gerak kerja terencat dengan hanya berfikir soal symptom kecil yang dianggap masalah besar. Tindakan sedemikian bukan sahaja sahaja merencatkan gerakan tetapi juga pemikiran. Mahasiswa akan jauh ketinggalan jika masih bermain dengan symptom yang disangka masalah. Maka masalah tetap tidak akan selesai.


Ke arah pembentukan generasi mahasiswa berjiwa besar


Mahasiswa di Indonesia dipasak cita-citanya agar bersifat negarawan. Mereka sudah bijak berbicara soal negara kerana silibus pemikiran sudah dibina di awal usia kepemudaan. Ayuh, mahasiswa! Hari ini kita berbicara soal negara. Ke mana halatuju sosial yang akan kita pacu? Kita fikirkan soal pembangunan ekonomi. Kita berbicara soal kestabilan politik yang akan kita bina. Kita bincangkan pembangunan sosial ke arah insan Rabbani yang kita cita-citakan.


Albert Einstein pernah menyatakan :

"Imagination is more important than knowledge. Knowledge is limited. Imagination encircles the world"


Mari kita bina imaginasi yang menjadi halatuju kita yang idealistik dan realistik. Kita perkasakan gagasan yang ingin dicapai.


Stephen R. Covey dalam bukunya "The Seven Habits of Highly Effective People” berbicara soal salah satu tabiat iaitu :


"Begin with end in mind"


Justeru, mari kita menyusun langkah ke arah imaginasi yang belum tercapai. Pasakkan imaginasi, perkasakan strategi demi survival perjuangan mahasiswa. Bergerak seiringan, memimpin perubahan…

1 comment:

hafiz said...

ayuh mahasiswa kita bina imaginasi mensasar dunia, dunia perlukan kita sebagai khilafah, bangun jangan segan2 bak bagan tak mendatang, bangkit sebelum terbangkit..