Tuesday, June 2, 2009

PESANAN UNTUK UMMAT ISLAM DI MALAYSIA

Ini adalah pesanan Dr. Khalil Ismail al-Hayya mewakili HAMAS di Palestin untuk umat Islam di Malaysia. Pesanan ini diterjemahkan oleh Maszlee Malik atas permintaan Dr. Khalil.


Alhamdulillah, Allah memilih kami yang berada di Palestin supaya berjihad. Kami dipilih bagi menjadi barisan hadapan kepada umat Islam. Kami dipilih oleh Allah bagi mengorbankan jiwa, nyawa, harta, anak-anak kami supaya menentang musuh-musuh Allah dan mempertahankan Masjid al-Aqsa. Kami juga dipilih oleh Allah bagi mewakili umat Islam di seluruh dunia supaya menjadi benteng pertahanan kepada al-Aqsa, kiblat pertama umat Islam dan juga masjid suci ketiga. Kami juga dipilih oleh Allah supaya menjadikan mati syaheed sebagai impian utama kehidupan berbanding kehidupan dunia. Selama lebih 60 tahun kami hidup di medan pertempuran. Selama tempoh itu juga, kami dijajah, dizalimi, diseksa, dibunuh dan juga diperangi. Mengapa? Hanya kerana kami mengucapkan la ilaha illallah dan kerana kami mempertahankan bumi serta masjid kami.

Pelbagai bentuk kesengsaraan sudah dilalui oleh rakyat Palestin. Pengusiran dari rumah, kampung halaman dan juga tanah air. Dibunuh, diseksa, ditembak, dibom, dibantai, disembelih dan pelbagai perbuatan tidak bertamadun yang dapat disenaraikan, sudah kami lalui. Generasi berganti generasi, umat Islam di Palestin tetap sabar dan komited supaya terus kekal dan mempertahankan tanah air mereka. Ia adalah jihad, kemuliaan dan bukti yang ingin kami bawa sebagai mahar ke Syurga nanti. Semoga Allah menerima pengorbanan kami ini.

Semasa detik-detik awal penjajahan, kami, saudara anda daripada gerakan Islam menjadi barisan utama perjuangan. Selepas beberapa waktu, gerakan Islam dibantai penjajah. Walau bagaimanapun, pembantaian itu tidak cukup bagi melemahkan kami. Sehingga zaman Jamal Abdul Naser, sepertimana saudara-saudara kita di Mesir dibantai, kami juga turut menerima kesannya. Semenjak tarikh itu, gerakan Islam terpaksa kembali ke bawah tanah. Kami menumpukan usaha membina semula struktur perjuangan. Usaha pedidikan, dakwah, tarbiyah dan kebajikan menjadi agenda utama kami. Kami laluinya dengan penuh kesabaran dan ketabahan. Sehingga pada pertengahan 80-an apabila arus sekular mula jemu dengan perjuangan. Semasa arus sekular yang asalnya memandu perjuangan rakyat Palestin mula lesu, kami mula memunculkan diri sebagai peneraju perjuangan rakyat Palestin. Perjuangan kami berbeza dengan perjuangan sebelum ini. Perjuangan kami berteraskan Islam dan kami membawa mesej ummah. Perjuangan kami bukan hanya sekadar ingin memerdekakan sekeping tanah, tetapi bagi memandu kebangkitan semula umat Islam dan meninggikan syiar Islam di muka bumi ini.

Semenjak hari pertama penubuhannya, HAMAS menjadikan jihad sebagai jalan utama bagi memerdekakan bumi Palestin. HAMAS juga menjadikan Islam sebagai landasan perjuangannya. HAMAS juga memberikan nyawa ahli-ahli mereka bagi tujuan itu dan berjanji pada rakyat Palestin dan juga kepada umat Islam supaya terus komited dengan perjuangan kami. HAMAS juga berjanji hendak memerdekakan Masjid al-Aqsa walaupun terpaksa berjuang dengan kuku dan gigi sahaja. Itulah janji kami.

Selepas hampir 20 tahun berjuang, Allah memberikan hasinya kepada perjuangan HAMAS. Kami diberi kepercayaan oleh rakyat bagi memerintah mereka. Kemenangan ini walaupun indah, namun ia adalah ujian yang getir bagi kami. Kemenagan itu adalah era baru perjuangan HAMAS. Kami terpaksa menambhakan satu lagi ruang dalam perjuangan kami iaitu politik pemerintahan. Semakin bertambah beban, semakin tinggi pengorbanan kami.

Buat umat Islam di Malaysia, kalian adalah saudara kami yang paling hampir di Malaysia. Hati-hati kita sudah diikat dengan fikrah dan akidah yang sama. Kita dihimpunkan dalam ikatan kerohanian yang jitu. Kita ditakdirkan bersama dalam perjuangan dengan manhaj atau tujuan yang sama. Kami adalah wakil saudara di Palestin. Kemenangan kami adalah kemenangan saudara. Pemerintahan kami adalah pemerintahan saudara. Kerajaan HAMAS adalah kerajaan umat Islam dan hadiah buat perjuangan pecinta Islam di seluruh dunia. Tidakkah saudara sedar perkara ini? Jika saudara tidak sedarkan perkara ini, siapa lagi yang akan menyedarinya?

Umat Islam di Malaysia sekalian, menjadi pemerintah tidak mudah. Apatah lagi memerintah dalam fasa penjajahan dan peperangan. Ditambah pula apabila pemerintah hanya memerintah sebuah negara yang tidak berdaulat dan dinafikan kedaulatannya serta memerintah sebuah negara yang menjadi sasaran keganasan penjajah Zionis yang didokongi oleh kuasa besar dunia yang zalim. Manakala pemerintahan itu sebenarnya mewarisi pemerintahan sebelumnya yang meninggalkan hutang sebanyak USD 3 billion di dalam akaun kerajaan. Inilah realiti kerajaan yang kami terajui. Inilah juga realiti kerajaan yang diterajui oleh HAMAS di Palestin. Inilah realiti kerajaan yang mewakili saudara semua di seluruh dunia.

Sehingga kini, para pegawai kerajaan termasuk para menteri, tidak menerima gaji semenjak tiga bulan yang lalu. Tahap pengangguran mencapai 31% di Gaza dan Tebing Barat. Bekalan makanan dan petrol semakin berkurangan. Ubat-ubatan di hospital semakin berkurangan. Baru-baru ini tiga orang bayi meninggal di hospital berdekatan Gaza kerana tiada ubat-ubatan yang mencukupi. Pelajar-pelajar tidak dapat menduduki peperiksaan kerana kehabiasan kertas di sekolah-sekolah di Gaza dan Tebing Barat. Malah persidangan parlimen (Majlis Legaslatif) kami di Gaza hampir-hampir dibatalkan kerana kekurangan kertas.

Mengapa ini semua berlaku? Ia kerana keberkesanan tekanan yang dikenakan ke atsa rakyat Palestin oleh rejim Zionis, AS dan EU. Tekanan yang dikenakan hanya kerana rakyat Palestin memilih calon yang rakyat inginkan dalam pilihan raya yang lalu. Tekakan dikenakan kerana kami enggan mematuhi ugutan mereka supaya mengiktiraf penjajahan Zionis. Tekanan juga dikenakan kerana kami ingin mempertahankan diri kami daripada dibunuh oleh pihak penjajah. Sampai bilakah tekanan ini akan berakhir?

Wang hasil kutipan cukai kami yang berjumlah USD 55 juta sebulan tidak pernah dipulangkan kepada rakyat Palestin. Rejim Zionis mengambilnya dan mereka tidak pernah dipaksa supaya memulangkannya kepada kami. Mengapa tiada kuasa yang dapat memaksa reim Zionis supaya memulangkannya. Mereka juga menutup laluan udara, darat dan juga laut Palestin. Ekonomi kami berada di tangan rejim Zionis kerana perjanjian yang dipersetujui oleh kerajaan sebelum ini.

Walau bagaimanapun, kami tidak mengharapkan itu semua. Kami yakin, saudara seislam kami masih dapat membantu kami. Kami yakin saudara seakidah kami dapat menampung keperluan rakyat Palestin dan mencukupinya. Kami yakin juga, saudara seakidah kami di seluruh dunia dapat membuatkan kami terus hidup dan tidak bergantung pada bantuan daripada negara-negara bukan Islam, apatah lagi daripda rejim Zionis. Persoalannya, di manakah saudara-saudara kami? Di manakah mereka di saat kami memerlukan mereka?

Wahai umat Islam di Malaysia! Kami mengharapkan anda mengepalai kempen menyelamatkan kerajaan HAMAS di bumi Malaysia ini. Kami hanya mempunyai dua pilihan. Pertamanya, tunduk kepada tekanan AS dan EU lantas mengiktiraf Israel bagi menghilangkan kesengsaraan rakyat. Pilihan yang kedua adlah teruskan berjuang dan tidak sekali-kali tunduk pada tekanan. Kami memilih pilihan yang kedua. Kami akan terus berjuang hingga ke titisan darah terakhir. Kami tidak akan sekali-kali mengiktiraf penjajah dan tunduk pada tekanan. Malangnya rakyat hanya mampu bertahan selama 6 bulan. Setiap hari rakyat mengadakan perarakan menyokong kerajaan dan menggesa kerajaan HAMAS tidak tunduk pada tekanan. Kami yakin, rakyat akan terus menyokong, tapi sampai bila? Perut mereka akan kosong. Kami tidak akan membiarkan rakyat kami kelaparan dan sakit tanpa rawatan. Kami perlukan bantuan saudara bagi melakukannya. Sanggupkah saudara melihat kerajaan HAMAS di Palestin membiarkan rakyatnya kelaparan?

Umat Isalam di Malaysia sekalian, kami akan terus berjuang. Kami akan terus tetap dalam perjuangan sehingga setiap daripada kami akan gugur syahid. Kami akan terus memastikan prisip Islam terus dijulang. Namun, kami memerlukan sokongan dan bantuan kalian.

Jika kami gugur syahid manakala saudara sekalian terus diam membisu dan hanya menyaksikan sahaja, nantikan hari pembalasan. Kami akan tuntut daripada ALLAH atas kelembapan saudara semua. Kami tidak akan redha pada kelesuan dan kebisuan kalian. Kami tidak akan memaafkannya.

Umat Islam di Malaysia, kami mengharapkan saudara bersikap proaktif. Kami hanya mengharapkan saudara dapat menyumbang USD1 (bersamaan RM3.60) setahun bagi menggung kesengsaraan rakyat Palestin. Kami juga mengharapkan saudara melobi kerajaan saudara yang menjadi Pengerusi OIC supaya melakukan sesuatu.

Kami juga berharap saudara melakukan kempen kesedaran dan linatkan masyarakat Malaysia, termasuk pertubuhan-pertubuhan bukan Islam supaya turut membantu rakyat Palestin.

Kami juga ingin melihat saudara menjadi juara di peringkat antarabangsa dalam kempen kesedaran ini. Banjiri media saudara dengan isu Palestin dan al-Aqsa. Halakan mereka ke arah menyokong perjuangan rkyat Palestin. Kepalailah usaha serantau bagi tujuan itu, saudaralah harapan kami.

Akhir sekali, kami mengharapkan saudara tidak melupakan kami dalam doa-doa saudara sekalian. Berdoalah supaya kami tetap dalam perjuangan kami dan dikurniakan mati syahid. Berdoalah juga supaya kita dapat bersama-sama bersolat di dalam masjid al-Aqsa suatu hari nanti. Pada masa itu, bendera Islam akan berkibar dan syariat Allah akan berkibar berdaulat sekali lagi di atas muka bumi ini.
Allahu akbar!

Suadaramu,
Khalil Ismail al-Hayya
Ketua WHIP HAMAS di Majlis Legaslatif Palestin,
14 Mei 2006.

Monday, May 4, 2009

Belia perlu anjakan paradigma jadi generasi kelas pertama

MENTERI Belia Dan Sukan, Datuk Ahmad Shabery Cheek mengumumkan kementeriannya akan memperkenalkan konsep 'Satu Belia' bagi membantu mempercepat proses pelaksanaan gagasan 1Malaysia.

Beliau menegaskan bahawa belia yang mencakupi hampir separuh daripada 27 juta rakyat perlu disemai dengan semangat dan perasaan sama bagi menjayakan gagasan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, itu.

Ikatan Studi Islam Universiti Kebangsaan Malaysia (ISIUKM), menyambut baik perhatian yang diberikan terhadap belia pada hari ini kerana generasi ini adalah pewaris kepemimpinan negara akan datang.

Justeru, golongan belia harus dipersiapkan bagi memastikan mereka mampu menghadapi dunia penuh cabaran ini. Bekas Presiden Indonesia, Sukarno pernah berkata: "Berilah aku seratus orang pemuda, nescaya aku mampu menggoncangkan dunia. Tetapi sekiranya aku diberi seribu orang tua nescaya tewaslah aku".

Demikian sebuah proklamasi yang mengangkat martabat golongan belia. Hal demikian kerana, masa depan negara bergantung kepada keupayaan belia hari ini. Harapan diletakkan di atas bahu golongan belia kerana golongan ini memiliki semangat yang membara, tubuh badan yang kuat serta idealisme yang tinggi.

Kes yang membabitkan golongan belia hari ini agak membimbangkan. Terbaru, seramai 500 mat rempit dan pelumba kereta haram ditahan di kawasan Dataran Merdeka dalam operasi mencegah kegiatan lumba haram dan kesalahan lalu lintas yang dijalankan kira-kira 200 anggota polis trafik, narkotik dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ). Kes sebegini amat membimbangkan kita sebagai rakyat Malaysia.

Justeru, ISIUKM berharap, pihak Kementerian Belia Dan Sukan mengkaji semula program yang dijalankan kementerian itu agar ia bersesuaian dan seimbang dari pelbagai aspek. Program yang dijalankan tidak boleh hanya sekadar bersifat mengisi masa kosong belia semata-mata. Sebagai contohnya, bagi mengatasi masalah lumba haram, tidak cukup sekadar disediakan litar sebagai alternatif, namun ia perlu seimbang dari aspek jasmani, emosi, rohani dan intelek.

ISIUKM tidak menafikan, pelbagai program dijalankan pihak kementerian terbabit dalam pembangunan jasmani belia termasuk kemudahan dan prasarana. Namun, fokus pembangunan emosi, rohani dan intelektual juga perlu diperkasakan.

Jiwa generasi belia hari ini harus dipasak dengan kukuh bahawa masa depan negara berada dalam tangan mereka. Pemikiran belia perlu didedahkan dengan pengetahuan yang tinggi termasuklah mengambil tahu soal ekonomi, pendidikan, politik dan sosial yang menjadi tunjang kepada sesebuah negara.

Hal demikian penting agar timbulnya rasa bertanggungjawab dalam diri belia. Paradigma golongan ini juga perlukan anjakan agar mampu membentuk suasana yang baik dan bukannya hanya sekadar hanyut dibawa arus negatif yang diceduk dari budaya Barat.

Dalam hal ini, ISIUKM memandang, belia harus memiliki kompetensi dan integriti yang tinggi. Bekalan itu sangat penting agar belia dapat memimpin dan memacu Malaysia ke arah negara yang sejahtera dan maju setanding negara lain. Proses pembentukan belia yang gemilang tidak mampu dilaksanakan dengan jayanya tanpa bantuan dan sokongan jabatan, pertubuhan kerajaan atau bukan kerajaan serta organisasi lain.

Justeru, ISIUKM juga berharap agar kerajaan memberi galakan dan sokongan terhadap usaha pelbagai pihak ke arah melahirkan generasi belia kelas pertama yang sedang dinantikan masyarakat.

MOHD IDRIS MOHD YUSSOFF,
Presiden Ikatan Studi Islam,
Universiti Kebangsaan Malaysia Bangi,
Selangor.

DEMI SURVIVAL MAHASISWA : BANGKITLAH SEBELUM TERLENA




MOHD IDRIS BIN MOHD YUSSOFF

PRESIDEN,

IKATAN STUDI ISLAM (ISIUKM),

UNIVERSITI KEBANGSAAN MALAYSIA.



Ketika khilifah Islam di bawah pimpinan Muawiyyah, Abu Ayyub al-Ansari teringatkan hadith Rasulullah s.a.w. ketika sedang menggali parit dalam peperangan Khandak :


"..Constantinople (kini Istanbul) akan jatuh ke tangan tentera Islam. Rajanya adalah sebaik-baik raja, tenteranya adalah sebaik-baik tentera……"

(Hadis riwayat Imam Ahmad)


Maka ideal itu dibawakan. Namun ramai yang menyanggah pandangan Abu Ayyub al-Ansari untuk berusaha membuka Constantinople dengan alasan firman Allah s.w.t. dalam al-Quran :



……dan janganlah kamu mencampakkan dirimu sendiri ke dalam kebinasaan…

(al-Baqarah 2 : 195)


Mereka menyanggah Abu Ayyub al-Ansari dengan menganggap jihad membuka Constantinople sebagai mencampakkan diri dalam kebinasaan kerana gerun akan kekuatan tentera Byzantine melalui cerita-cerita yang didengar. Namun Abu Ayyub al-Ansari membetulkan salah tafsir ayat tersebut dengan membaca keseluruhan ayat tersebut yang berbunyi :



Dan belanjakanlah (harta bendamu) di jalan Allah, dan janganlah kamu mencampakkan dirimu sendiri ke dalam kebinasaan, dan berbuat baiklah, Karena Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berbuat baik.

(al-Baqarah 2 : 195)


Sebagaimana yang terkandung dalam tafsiran Ibnu Abbas, Abu Ayyub al-Ansari menjelaskan bahawa ayat tersebut harus dibaca keseluruhannya. Yang dimaksudkan dengan “mencampakkan diri dalam kebinasaan “ ialah “bakhil untuk mengeluarkan harta di jalan Allah s.w.t.” sesuai dengan awal ayat tersebut yang bermaksud : “dan belanjakanlah (harta bendamu) di jalan Allah…” Beliau juga menjelaskan bahawa jihad bukanlah satu kebinasaan akan tetapi satu kemuliaan.


Walaupun umurnya menjangkaui lebih 80 tahun, dengan moto hidup beliau “infiruu khifafan wa thiqalan….”, Abu Ayyub al-Ansari menyertai delegasi pertama yang dihantar oleh Muawiyyah pada zaman tersebut untuk membuka Constantinople. Walaupun ketika itu Constantinople belum dapat dibuka ketika itu, Abu Ayyub al-Ansari mendapat syahid. Salah satu wasiatnya ialah, “andai aku gugur syahid, kebumikan aku di sini. Walaupun aku tidak mampu membuka Constantinople, sekurang-kurangnya satu hari nanti aku akan mendengar tapak kaki “sebaik-baik pemimpin dan sebaik-baik tentera yang dijanjikan oleh Rasulullah s.a.w.”.


Zaman berzaman, walaupun belum dapat membuka Constantinople, dengan azam dan jiwa besar, tentera Islam sentiasa menghantar pasukan deligasi untuk membuka kota tersebut bagi merialisasikan matlamat besar seperti yang dijanjikan oleh Rasulullah s.a.w. Sampailah saat, Constantinople dibuka oleh Sultan Muhammad al-Fateh, jasa Abu Ayyub al-Ansari tidak boleh dilupakan. Satu kredit yang boleh diberikan kepada Abu Ayyub al-Ansari di atas tindakannya. Walaupun agak berumur, namun jiwanya adalah jiwa pemuda.


Berubah sebelum rebah


Menyedari hakikat kepemudaan, mahasiswa harus bangkit sebelum terus terlena. Paradigma mahasiswa harus berubah sebelum rebah. Skop pemikiran mahasiswa perlu lebih luas menjangkaui bilik-bilik kuliah. Mahasiswa hari ini perlu bersifat negarawan. Mahasiswa tidak boleh membiarkan arus perubahan yang melaju terus meninggalkan kita. Idealisme perlu diasah, imaginasi perlu dipasak dan gerakan harus diperkasa secara bersama.


Mahasiswa perlu menjadi elemen sedar masyarakat. Bersiap siaga sebagai pemimpin rakyat. Bukan esok, tetapi hari ini mahasiswa perlu bangkit. Mengasak minda supaya bersikap negarawan. Lihat sahaja, ketika masyarakat tersalah tafsiran hakikat perjuangan, Abu Ayyub al-Ansari tampil membetulkannya. Membuka minda generasi terbilang agar tidak terkebelakang.


Dalam kisah pembukaan Constantinople, Rasulullah s.a.w. sebagai pencetus, Abu Ayyub al-Ansari sebagai penggerak, tentera-tentera Islam sebagai pelaksana dan Sultan Muhammad al-Fateh sebagai penyempurna. Persoalannya, di mana pula halatuju, matlamat dan cita-cita mahasiswa? Di mana pula posisi kita? Tidak cukup hanya berpemikiran pengkritik ibarat tin kosong andai tidak cuba menjadi alternatif terbaik. Tidak cukup sekadar kita hanya berbicara apa yang orang lain lakukan, namun tanyalah apa yang telah kita lakukan.


Tingkap yang disangka pintu


Virus persepsi yang semakin menebal membahayakan mahasiswa. Persepsi mudah boleh membawa mudarat. Dalam hal ini, symptom yang disangka masalah harus dibezakan. Hanya kerana banyak berfikir soal symptom, masalah sebnar tidak dapat diselesaikan dan semakin membarah. Mahasiswa harus berjiwa besar. Rahsianya adalah dengan tinggalkan symptom, selesaikan masalah. Hari ini, kita banyak berbicara soal symptom, namun masalah sebenar gagal diatasi.


Symptom perlu dianggap sebagai kemuncup dalam perjuangan. Walaupun tidak disukai namun lupakan sebentar demi perjuangan nafas panjang. Gerak kerja terencat dengan hanya berfikir soal symptom kecil yang dianggap masalah besar. Tindakan sedemikian bukan sahaja sahaja merencatkan gerakan tetapi juga pemikiran. Mahasiswa akan jauh ketinggalan jika masih bermain dengan symptom yang disangka masalah. Maka masalah tetap tidak akan selesai.


Ke arah pembentukan generasi mahasiswa berjiwa besar


Mahasiswa di Indonesia dipasak cita-citanya agar bersifat negarawan. Mereka sudah bijak berbicara soal negara kerana silibus pemikiran sudah dibina di awal usia kepemudaan. Ayuh, mahasiswa! Hari ini kita berbicara soal negara. Ke mana halatuju sosial yang akan kita pacu? Kita fikirkan soal pembangunan ekonomi. Kita berbicara soal kestabilan politik yang akan kita bina. Kita bincangkan pembangunan sosial ke arah insan Rabbani yang kita cita-citakan.


Albert Einstein pernah menyatakan :

"Imagination is more important than knowledge. Knowledge is limited. Imagination encircles the world"


Mari kita bina imaginasi yang menjadi halatuju kita yang idealistik dan realistik. Kita perkasakan gagasan yang ingin dicapai.


Stephen R. Covey dalam bukunya "The Seven Habits of Highly Effective People” berbicara soal salah satu tabiat iaitu :


"Begin with end in mind"


Justeru, mari kita menyusun langkah ke arah imaginasi yang belum tercapai. Pasakkan imaginasi, perkasakan strategi demi survival perjuangan mahasiswa. Bergerak seiringan, memimpin perubahan…